|
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua para pengunjung kerana sudi meluangkan masa melayari laman web rasmi Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN).
INSTUN sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada semua pelanggan dari masa ke masa. Ini terbukti dengan penganugerahan sijil MS ISO 9001:2008 – Pengurusan Latihan pada 31 Mac 2010 yang merupakan kesinambungan daripada pensijilan MS ISO 9001:2000 yang diterima INSTUN sebelum ini. Penganugerahan ini menunjukkan komitmen jabatan dalam memastikan kualiti perkhidmatan yang disampaikan kepada para peserta yang menghadiri kursus di INSTUN adalah sentiasa dipertingkatkan dan memenuhi kehendak pelanggan seperti yang dijanjikan.
Laman web ini diwujudkan antara lain adalah sebagai sumber rujukan dalam membantu memberi maklumat yang cepat dan tepat kepada para pengunjung mengenai kursus-kursus yang telah dirancangkan kepada para pelanggan yang terdiri daripada mereka yang terlibat dengan pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat di Malaysia. Harapan saya adalah supaya informasi-informasi yang dimuatkan di dalam laman web rasmi ini akan membantu para pengunjung untuk mendapatkan maklumat yang terkini yang diperlukan, terutamanya bagi memilih program latihan mengikut kesesuaian dan keperluan masing-masing.
Adalah diharapkan kakitangan kerajaan, orang awam, pertubuhan bukan kerajaan dan badan-badan berkanun dapat memanfaatkan laman web rasmi ini dengan memilih kursus mengikut kesesuaian dan keperluan jabatan masing-masing dengan membuat permohonan secara bertulis ataupun memohon kursus atas talian (online) dengan kewujudan sistem eSPEK di laman web rasmi INSTUN.
Insya-Allah dengan latihan yang terancang, INSTUN dapat merealisasikan visi dan misi untuk memaju dan membangunkan modal insan serta mewujudkan masyarakat berpengetahuan dalam bidang pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta teknologi maklumat yang berkaitan melalui program latihan yang komprehensif, sistematik dan berkualiti serta penyediaan bahan rujukan yang berkaitan untuk masyarakat umum.
Sekian, terima kasih.
EN MOHD 'ASHRAF BIN MOHD NOOR
PENGARAH,
INSTITUT TANAH DAN UKUR NEGARA
BEHRANG ULU,
35950 BEHRANG STESEN,
PERAK
|