Intisari Pindaan Undang-undang Kanun Tanah Negara 1965 (Terkini) PDF Cetak E-mail

 Kanun Tanah Negara 1965, Akta No. 56, tahun 1965, telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 1966 di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Kanun ini telah digubal dengan berasaskan kepada Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan untuk menyeragamkan sistem pentadbiran tanah ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Sejak penguatkuasaan kanun ini, ia telah dipinda sebanyak 30 kali  bermula dari 1968 sehinggalah ke tahun 2008. Pindaan yang dilakukan adalah bertujuan untuk memastikan sistem pentadbiran tanah di Semenanjung Malaysia dapat memenuhi keperluan dasar dan pembangunan sosioekonomi semasa.



Namun begitu, akhir-akhir ini pentadbiran tanah kembali menjadi perhatian apabila isu-isu yang menyentuh kecekapan pentadbiran tanah telah diketengahkan oleh pelbagai pihak. Kerajaan sememangnya peka mengenai rungutan yang diterima dan sentiasa berusaha untuk mengatasinya. Ini adalah selaras dengan kehendak dan keperluan semasa berkaitan urusan pentadbiran tanah bagi menyokong ke arah mewujudkan sebuah negara Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Justru, pihak kerajaan  terus merangka dan melaksanakan usaha-usaha memodenkan pentadbiran tanah bagi tujuan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan atau government delivery system,  kepada rakyat jelata.

 Rang Undang-undang Kanun Tanah Negara (Pindaan) telah pun dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia pada Disember 2007, dan diwartakan pada 07 Februari 2008. Semua  pindaan ini telah dirangka dengan teliti untuk menambahbaikkan dan menepati keperluan semasa yang melibatkan pentadbiran dan pengurusan tanah di negeri-negeri khususnya dan negara amnya.

Secara keseluruhan,  pindaan yang dikemukakan ini melibatkan 25 seksyen , Jadual Pertama iaitu pindaan terhadap borang-borang, Jadual Keempat Belas, iaitu mengenai pelaksanaan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) dan pengenalan Jadual Keenam Belas yang baru bagi tujuan pelaksanaan Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik iaitu sistem e-tanah.


Pentadbiran tanah di negara ini telah mengalami perubahan selari dengan kehendak dan perkembangan pembangunan negara. Selaras dengan itu, telah timbul keperluan untuk memperkenalkan tafsiran baru di samping memperkemaskan lagi tafsiran yang sedia ada di dalam seksyen 5, Kanun Tanah Negara. Sehubungan dengan itu, tafsiran Digital Cadastral Database dan Disaster Recovery Center, diperkenalkan sejajar dengan pemodenan pentadbiran awam ke arah kerajaan elektronik. Tafsiran Digital Cadastral Database diperkenalkan bagi mengiktiraf Pangkalan Data Ukur Kadaster (PDUK), sebagai maklumat tanah berdigit yang sah di sisi undang-undang dan boleh diguna pakai dalam pentadbiran tanah khususnya bagi penyediaan dokumen hak milik. Pengiktirafan ini perlu bagi mengesahkan pemakaian PDUK serta memastikan integriti dan kesahihan maklumat berhubung pengukuran tanah seperti bearing, jarak, keluasan serta lain-lain maklumat dalam PDUK. Dalam sistem manual yang dilaksanakan sebelum ini, pelan akui yang diluluskan akan dikemas kini di dalam syitpiawai. Sekarang ini pelan akui telah dibuat secara digital dan terus dikemas kini di dalam PDUK.

Seterusnya juga diperkenalkan tafsiran Disaster Recovery Centre bagi mengiktiraf fungsinya yang akan bertindak sebagai back up, dan sistem pemulihan bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan sistem e-tanah apabila berlakunya bencana. Pada masa yang sama, ia juga akan berfungsi sebagai Pejabat Pendaftaran Tanah yang akan membolehkan urusan-urusan tanah terus dilakukan tanpa gangguan sekiranya berlaku apa jua bencana.

Selain daripada itu, tafsiran yang diperkemas pula ialah Pre-computation Plan iaitu pelan pra-hitungan dan rock material, iaitu bahan batuan, dipinda bagi memenuhi keperluan semasa. Tafsiran Pre-computation Plan sebelum ini tidak menyatakan secara jelas mengenai pihak mana yang seharusnya menyediakan pelan-pelan ini.

Sehubungan itu, seksyen 5, Kanun Tanah Negara dipinda dengan memasukkan perkataan-perkataan “prepared by director of survey and mapping department”, bagi menjelaskan pihak yang dibenarkan dan dipertanggungjawabkan, iaitu kepada Pengarah Ukur dan Pemetaan atau juruukur tanah berlesen sahaja.  Pindaan ini bertujuan untuk memastikan pelan ini disediakan oleh mereka yang berkelayakan di dalam bidang ukur tanah sahaja. Jaminan agar perkara ini dilaksanakan sedemikian adalah penting kerana pelan pra-hitungan yang melibatkan maklumat-maklumat ukur seperti bearing, jarak, koordinat dan sebagainya memerlukan kepakaran dalam bidang berkenaan.

Pindaan yang dilakukan ke atas tafsiran, rock material, yang sedia ada bertujuan mengelakkan kekeliruan dan memudahkan kerja mengenal pasti bahan-bahan batuan yang boleh diambil di bawah Kanun Tanah Negara dan pengambilan bahan mineral bernilai tinggi di bawah Enakmen Mineral Negeri serta menyelaras dan mengelakkan pertindihan tafsiran bahan batuan dan bahan mineral.

 Pada masa ini pihak kerajaan telah pun melaksanakan proses pendaftaran tanah secara berkomputer yang dikenali sebagai Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB). Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ICT yang begitu cepat dan sentiasa berubah, maka terdapat keperluan untuk membuat pindaan ke atas peruntukan am dan borang-borang yang sering digunakan melalui SPTB ini. Sehubungan itu, pindaan ke atas seksyen 5B, Kanun Tanah Negara dilakukan untuk memberi kuasa kepada Yang Berhormat Menteri dengan kelulusan Majlis Tanah Negara membuat apa-apa pindaan yang sewajarnya ke atas Jadual Keempat Belas kepada Kanun Tanah Negara. Jadual ini meliputi kaedah pentadbiran SPTB, borang-borang dan peruntukan-peruntukan lain yang bersesuaian dengannya.

  Lanjutan daripada pengkomputeran sistem pendaftaran melalui SPTB tersebut, Bahagian baru, Satu (C) diperkenalkan dalam Kanun Tanah Negara dengan memasukkan seksyen 5D, iaitu mengenai pelaksanaan sistem e-tanah yang merangkumi hampir keseluruhan urusan pentadbiran di pejabat-pejabat tanah. Melalui peruntukan ini, Jadual 16 diperkenalkan yang akan memperuntukkan secara terperinci mengenai kaedah, borang-borang dan peruntukan-peruntukan yang bersesuaian dalam melaksanakan sistem e-tanah. Selain daripada itu juga, peruntukan ini memberi kuasa kepada Yang Berhormat Menteri dengan kelulusan Majlis Tanah Negara untuk menetapkan tarikh yang berlainan bagi permulaan kuat kuasa sistem e-tanah di mana-mana pejabat pendaftaran tanah serta kuasa untuk membuat sebarang pindaan kepada Jadual ke-16 sekiranya terdapat keperluan pada masa hadapan.

Selanjutnya selaras dengan usaha untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, telah dipinda sub perenggan 14(1)(i) Kanun Tanah Negara bagi membolehkan pihak berkuasa negeri melantik agen untuk memungut atau menerima bayaran hasil tanah. Dengan pindaan yang  ini, bayaran hasil tanah boleh dilakukan melalui sistem perbankan internet atau kaunter-kaunter seperti pejabat pos dan sebagainya.

Tanah-tanah rizab kerajaan di negeri-negeri hendaklah dikawal dengan ketat penggunaannya agar tidak disalah gunakan oleh mana-mana pihak. Oleh sebab itu, peraturan memperuntukkan bahawa hanya penjawat awam-public officer, sahaja boleh dilantik sebagai pegawai pengawalnya. Perkara ini tidak begitu jelas dalam Kanun Tanah Negara. Oleh yang demikian telah dipinda sub perenggan 62(2)(c) Kanun Tanah Negara dengan memasukkan perkataan “public” bagi memperuntukkan supaya pegawai pengawal tanah rizab kerajaan hendaklah daripada penjawat awam sahaja .

 Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan berkaitan pentadbiran tanah, usaha-usaha untuk mempercepatkan urusan tertentu telah diberikan perhatian. Bagi mempercepatkan urusan pengeluaran hak milik tanah,  pindaan dibuat ke atas Seksyen 80 Kanun Tanah Negara. Pindaan ini  memasukkan peruntukan mengenai pengeluaran hak milik tetap, tanpa perlu mengeluarkan hak milik sementara terlebih dahulu dengan syarat ukuran halus telah disempurnakan dan segala keperluan lain telah pun dipenuhi. Melalui pindaan ini, kerajaan berharap agar jumlah tunggakan penukaran hak milik sementara kepada hak milik tetap akan dapat dikurangkan. Selaras dengan hasrat itu, pindaan juga turut dibuat ke atas sub perenggan 81 (1)(d) Kanun Tanah Negara bagi membolehkan Pendaftar memungut bayaran fi untuk penyediaan dan pendaftaran hak milik tetap sahaja.

   Sementara itu  peruntukan proviso kepada Seksyen 92D Kanun Tanah Negara pula  dipinda bertujuan untuk mensyaratkan supaya semua cukai tanah yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa negeri hendaklah dijelaskan terlebih dahulu sebelum sebarang urusan atau permohonan berkaitan tanah bahawa tanah stratum dibuat. Syarat ini telah tertinggal untuk dimasukkan semasa peruntukan mengenai tanah di bawah tanah diperkenalkan dahulu.

   Subperenggan 124(4)(c), Kanun Tanah Negara pula  dipinda untuk memasukkan perkataan “or restriction in interest”. Perkataan ini sepatutnya telah dimasukkan semasa pindaan dibuat kepada seksyen 124 Kanun Tanah Negara melalui Akta A587 yang telah berkuat kuasa pada 25 Mac 1985 tetapi  telah tertinggal untuk dimasukkan dalam pindaan tersebut.

 Kerajaan memang prihatin dengan kehendak dan keperluan rakyat. terutamanya dalam meneruskan projek pembangunan. Menyedari kehendak ini, tuan punya tanah dikehendaki menyediakan kawasan tertentu bagi maksud awam apabila mengemukakan permohonan pembangunan tanah kepada kerajaan. Seterusnya tuan punya tanah juga dikehendaki bersetuju menyerahkan apa-apa bahagian kepada kawasan tanah itu untuk digunakan bagi maksud awam. Sebagaimana yang ditentukan oleh pihak berkuasa perancang yang berkenaan. Bagi memenuhi keperluan tersebut, pindaan ke atas subseksyen 136(1) Kanun Tanah Negara dengan memasukkan perenggan baru iaitu (ca).

KTN juga prihatin ke atas masalah tuan punya bersama iaitu co-proprietor bagi tanah-tanah berkategori pertanian atau berkeluasan 2/5 hektar atau kurang yang tidak dapat membangunkan tanah mereka kerana halangan untuk memecah bahagi tanah tersebut. Bagi mengatasi masalah ini, telah dipinda peruntukkan subseksyen 140(3) Kanun Tanah Negara bagi membolehkan tanah berkategori pertanian yang melibatkan keluasan 2/5 hektar atau kurang di pecah bahagi.

 Seterusnya sub perenggan 141(1)(c) Kanun Tanah Negara  dipinda bagi mengetepikan syarat yang melarang tanah pertanian yang kurang daripada 2/5 hektar tersebut di pecah bahagi. Bagi memudahkan urusan, seksyen 141A Kanun Tanah Negara  dipinda untuk membolehkan urusan pecah bahagi dilakukan oleh mana-mana pemilik bersama.

Sebelum ini di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara sedia ada, pemilik bersama yang mempunyai pegangan minoriti tidak dibenarkan memohon untuk pecah bahagi kecuali mendapat persetujuan daripada semua pemilik bersama yang lain. Seterusnya subseksyen 142(5), Kanun Tanah Negara pula  dipinda bagi memperuntukkan mengenai prosedur permohonan pecah bahagian tersebut. Bagi memenuhi hasrat tersebut,  peruntukan seksyen 143A Kanun Tanah Negara diperkenalkan bagi memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk menimbang permohonan pecah bahagi tanah pertanian yang melibatkan keluasan 2/5 hektar atau kurang.

Subseksyen 147(1) pula dipinda bagi mengecualikan permohonan penyatuan tanah ataupun amalgamation, daripada dikenakan syarat menyediakan sebahagian tanah untuk kawasan awam sebagaimana yang dikenakan atas permohonan pecah sempadan di bawah cadangan pindaan subseksyen 136(1), Kanun Tanah Negara. Penyatuan tanah hanya melibatkan lot-lot tanah tersendiri untuk kegunaan sendiri sahaja dan tidak melibatkan pihak awam.

Sementara itu bagi memperkemaskan lagi tatacara berkaitan proses serah dan beri milik semula. Seksyen 204GA, Kanun Tanah Negara  dipinda dengan memasukkan subseksyen dalam (1A). Bagi tanah-tanah yang tertakluk kepada gadaian, kebenaran pemegang gadaian perlu diperoleh sebelum tuan tanah membuat permohonan. Pindaan ini mengehendaki Pentadbir Tanah membatalkan catatan persetujuan pemegang gadaian atas dokumen hal milik pendaftaran jika permohonan berkenaan ditarik balik atau urusan yang dibuat ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri. Pada masa ini peruntukan berhubung pembatalan catatan persetujuan pemegang gadaian ini tidak diperuntukkan.

 Subseksyen 254(1) Kanun Tanah Negara  dipinda untuk memberikan tempoh minimum yang tidak kurang dari satu bulan kepada penggadai sebelum pemegang gadaian boleh menyampaikan notis Borang 16D iaitu borang tuntutan kepada penggadai iaitu tuan tanah, kerana apa-apa kemungkiran dalam perjanjian gadaian.  Pindaan ini bertujuan memberi tempoh masa yang munasabah kepada penggadai dan menghalang pemegang gadaian mengemukakan notis yang singkat jika berlaku kemungkiran perjanjian gadaian. Sebelum ini tiada tempoh minimum ditetapkan dan terpulanglah kepada pemegang gadaian menetapkan tempoh tersebut di dalam charge annexure.

Subseksyen 264A(1), Kanun Tanah Negara pula  dipinda bagi memperbetulkan kesilapan cetakan semasa pindaan kepada Kanun Tanah Negara pada tahun 2001, Akta A1104 di mana Borang 16O dicetak sebagai Borang 16P.

Seiring dengan pelaksanaan sistem e-tanah, seksyen 375 Kanun Tanah Negara  dipinda bagi meletakkan tanggungjawab ke atas pendaftaran hak milik untuk memastikan penyimpanan selamat data digital dan maklumat yang disimpan dalam pangkalan data Pejabat Pendaftaran Tanah dan Pusat Pemulihan Bencana iaitu Disaster Recovery Centre.

Selain daripada itu, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam  pentadbiran tanah juga dapat dilihat dalam konteks pengukuran tanah iaitu dengan wujudnya pangkalan data ukur kadaster (PDUK) yang menyimpan maklumat berhubung pengukuran tanah yang berkaitan dengannya. Oleh itu subperenggan 399, dalam (1)(d)  dipinda bagi meletakkan tanggungjawab kepada Pengarah Ukur dan Pemetaan untuk memastikan penyimpanan selamat data-data bekalan, data ukur kadaster tersebut. Dalam konteks ini, juga dipinda seksyen 412 Kanun Tanah Negara untuk mengiktiraf salinan-salinan pelan yang dikeluarkan daripada Pangkalan Data Ukur Kadaster sebagai salinan-salinan pelan yang boleh didepositkan.

Pentadbiran Tanah memandang berat terhadap kesalahan mengambil atau mengalihkan bahan batuan secara tidak sah. Sehubungan itu, seksyen 426, Kanun Tanah Negara  dipinda bagi meningkatkan hukuman denda daripada RM10,000 kepada RM50,000 dan tempoh penjara daripada satu tahun kepada lima tahun. Adalah diharapkan agar peningkatan hukuman denda dan penjara ini dapat menjadi satu langkah deterrent , agar bahan batuan ini tidak diambil dengan sewenang-wenangnya.

Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, kuasa mendakwa dan mengkompaun hanya ada pada Pendakwa Raya. Begitu juga dengan proses mendakwa dan mengkompaun hanya boleh dimulakan dengan kebenaran bertulis daripada Pendakwa Raya. Oleh itu   seksyen 429A, dan seksyen 429B Kanun Tanah Negara dipinda bagi memperuntukkan dengan jelas bahawa pendakwaan dan kompaun bagi sebarang kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara hanya boleh dimulakan oleh Pendakwa Raya atau dengan kebenaran bertulis daripadanya.

 Pindaan-pindaan lain yang tidak dinyatakan adalah merupakan pindaan-pindaan yang berbangkit atau consequential amendment.  Pindaan-pindaan yang dikemukakan itu akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat ke atas pentadbiran tanah dalam menangani masalah-masalah semasa dan menerajui pembangunan negara pada masa akan datang.
Terakhir Dikemaskini Jumaat, 20 Februari 2009 08:00