Beri Dua Minit

Spesifikasi:
ISBN : 9789830977867
Penulis: Muhd. Kamil Ibrahim
Ketebalan buku: 204 muka surat
Terbitan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Kenapa beri dua minit?
Sebab hanya dua minit (atau kurang) diperlukan untuk membaca setiap bab yang ada. Ada 100 bab yang pendek sekitar dua muka surat sahaja. Saiz font pun sedap mata untuk membacanya, tidak terlalu kecil atau besar untuk yang mempunyai sindrom ‘mata tua’ seperti saya (tapi masih selesa membuka cermin mata apabila membaca).
Nama penulis adalah satu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi khususnya kepada mereka yang mencari bahan bacaan berkaitan Haji dan Umrah. Bukunya yang bertajuk Travelog Haji dan Umrah:Merentas Sempadan Iman memang saya baca berkali-kali (saya mempunyai versi e-book dan juga buku). Dipendekkan cerita, beliau kini (sewaktu review ini ditulis) merupakan pensyarah di UniKL.
Mengenali penulis melalui beberapa buku tulisannya yang telah saya miliki, beliau banyak menekankan akan kepentingan menghargai masa yang masih berbaki supaya kita bersedia di negeri abadi. Umur umat Nabi Muhammad saw ini sekitar 63 tahun dan jika melepasinya, maka itu tanda Allah beri bonus kepada kita. Beliau sentiasa menekankan (dalam pelbagai penulisannya) pentingnya untuk solat malam, solat sunat, berbaik sangka, solat Jemaah di masjid (bagi lelaki), masuk syurga tanpa hisab, syafaat yang kita perlukan, perihal Haji dan kenangan di Madinah (sekadar menyebut beberapa perkara). Penulis adalah satu contoh orang biasa yang telah transform menjadi luar biasa.
Berbalik kepada buku ini, ia merupakan bahan bacaan santai yang mudah dibaca dan boleh dihabiskan bacaan dengan cepat. Perkara yang dibangkit dalam dalam setiap bab boleh dijadikan bahan untuk tazkirah ringkas selepas solat berjemaah (yang beliau sentiasa tekankan dan saya ambil pengajaran). Namun, tazkirah ringkas ini bukanlah semestinya slepas solat sahaja. Ia boleh dilakukan di mana sahaja. Mungkin bersama kawan sewaktu menunggu makanan tiba, bersama anak-anak di rumah, di dalam kereta, sewaktu bercuti dan lain-lain. Mudahnya membina taman syurga.
Bahasa yang digunakan dalam buku ini juga santai dan mudah difahami. Tidak berat atau berunsur akademik (kerana beliau seorang pensyarah!) namun tetap menyentuh hati. Sesuai lah dengan masyarakat sekarang yang mahukan benda-benda yang serba pantas. Saya sendiri tidak ingat berapa kali saya mengulang membaca buku ini atau setidaknya membuka bab tertentu (saya memang tidak membaca sesebuah buku hanya sekali). Tetapi yang jelas, apabila saya memilih buku untuk ditulis ulasan, memang saya akan membacanya sekali lagi.
Bagi yang berhasrat mahu mula membina taman syurga, buku ini sangat sesuai untuk dibaca dan dijadikan panduan. Mudah dan santai.
Selamat membaca.
#Malaysiamembaca
*Buku ini boleh didapati di Perpustakaan INSTUN di rak 297.74 MKI