Sumber Manusia Mendepani Industri 4.0

Spesifikasi:
Pengarang : Zafir Mohd Makhbul, Fazilah Mohamad Hasun
Penerbit: UKM Press
ISBN: 9789672388364
Tarikh terbit: 2020
Muka surat: 428 p
Pelbagai perasaan bimbang, cemas dan takut dalam diri individu untuk menghadapi perubahan yang bakal berlaku disebabkan oleh industri 4.0. Siapalah yang tidak takut dan tidak bimbang, sementelah pendedahan media berkaitan Industri 4.0 lebih cenderung menggembar-gemburkan aspek kecanggihan dan kehebatan teknologi dan automasi yang bakal mengganti tenaga manusia dan menyebabkan pengecilan saiz organisasi. Bagaimanakah pula fungsian pengurusan sumber manusia perlu dijalankan dalam era Industri 4.0? Adakah fungsi pengurusan sumber manusia masih relevan ketika itu? Itu adalah persoalan yang bermain dalam minda pengurus sumber manusia organisasi. Bagaimana pula dengan persoalan dalam minda sumber manusia itu sendiri. Adakah masih wujud ruang pekerjaan buat mereka? Adakah kelulusan yang mereka peroleh diperlukan dalam pasaran kerja? Adakah keselamatan kerjaya (job security) mereka terjamin? Adakah kontrak kerja mereka bakal disambung? Adakah kemahiran semasa mereka mencukupi untuk mendepani masa hadapan? Inilah antara seribu satu persoalan yang boleh diterokai jawapannya dalam buku ini. Terhasilnya sebuah buku penyelidikan Sumber Manusia Mendepani industri 4.0 amat bermakna buat mereka yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan kerjaya masa kini dan masa hadapan.
Zafir Mohd Makhbul, Ph.D adalah profesor dan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. Bidang penyelidikan beliau menjurus kepada pengurusan sumber manusia, keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan stres pekerjaan. Pencapaian tertinggi beliau adalah sebagai pemenang Anugerah Buku Negara pada 2017. Fazilah Mohamad Hasun, seorang penulis bebas sepenuh masa lulusan Universiti Utara Malaysia dan Universiti Putra Malaysia dalam bidang pengurusan perniagaan dan pembangunan sumber manusia. Penulisan beliau berkisar kepada bidang pengajian yang diikutinya disulami dengan pengalamannya dalam bidang latihan dan pendidikan. Hasil tulisan beliau pernah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Buku negara pada 2017.
*Buku ini boleh didapati di Perpustakaan INSTUN di rak 658.3 ZAF