• Bahasa Melayu
  • English
Search

ULASAN BUKU BULAN OKTOBER BIL. 2/2025

Rumah Tokoh-tokoh Melayu

Spesifikasi:

Pengarang : Mohamad Tajuddin Haji Mohamad Rasdi
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016.
ISBN: 9789834619930
Muka surat: 152

 

Rumah merupakan salah satu elemen budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Rumah Melayu dan pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang mendiaminya. Rumah Melayu tradisional adalah sebahagian warisan seni bina orang Melayu yang sangat bernilai dan telah direka bentuk serta dibina sehingga menampakkan betapa mahir dan kreatifnya bangsa Melayu dalam bidang seni bina. Reka bentuk tersebut memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan keluasan ruang mengikut keperluan semasa mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan. Rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang Melayu itu sendiri. Buku ini mendokumentasikan 7 kategori rumah Melayu tradisional., iaitu rumah hulubalang, rumah ulama, rumah ahli politik, rumah saudagar, bangsawan, rumah tukang dan rumah orang kebanyakan.

 

Senibina ialah manifestasi budaya kehidupan tradisional atau moden. Rumah tradisional Melayu yang didokumentasikan dalam buku ini merupakan rekod lama yang menggambarkan kepelbagaian kerjaya, status dan peranan individu dalam masyarakat. Buku ini merupakan kompilasi pertama tentang kepelbagaian corak kehidupan orang Melayu dari golongan ulama, penghulu, tukang, bangsawan dan sebagainya. Kebanyakan tulisan tentang seni bina Melayu hanya memfokuskan elemen objek seperti bumbung, tiang, dinding dan ukiran. Hakikatnya, pembelajaran seni bina harus berpaksikan kepercayaan, ritual dan peranan kerjaya yang mempunyai impak langsung terhadap perancangan ruang dan rupa bentuk.

 

Penulisan buku ini berdasarkan sumber dari arkib Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), iaitu pusat kajian tentang senibina tradisional Melayu dan kaum-kaum lain di Malaysia. KALAM berpusat di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia dan merupakan pusat kajian seni bina tradisional terbesar di negara ini dan salah satu yang terlengkap di Asia Tenggara. Kerja pengumpulan data yang dilakukan oleh KALAM telah bermula sejak tahun 1970-an dan kini KALAM mempunyai lebih daripada 500 bangunan tradisional seperti rumah, masjid, istana, bangunan komersil, pentadbiran dan sebagainya.

 

Adalah diharapkan agar buku ini dapat memberikan inspirasi kepada arkitek moden dalam menilai identiti seni bina Melayu serta memberikan nafas baharu terhadap ekspresinya dalam reka bentuk terkini. Buku ini juga diharapkan dapat memberikan imbasan rupa terhadap budaya masyarakat Melayu yang kaya dengan adab, pemikiran, kepercayaan dan ritual.

 

*Buku ini boleh didapati di Perpustakaan INSTUN di rak D728.370899923 MTM