• Bahasa Melayu
  • English
Search

ULASAN BUKU BULAN NOVEMBER BIL. 1/2022

BULI SIBER SUATU BENCANA SOSIAL

Spesifikasi:

 

Penulis: Muhammad Rahim Kamaluddin, Azianura Hani Shaari, Suzaily Wahab & Vikneswaran Sabramani
Penerbit: UKM Press
ISBN: 9789674128616
Jumlah halaman: 96 muka surat
Cetakan pertama: 2019

Perkembangan dunia siber yang begitu pesat telah mengubah corak tingkah laku hubungan sosial dalam semua lapisan umur. Walaupun dunia siber memberi banyak manfaat kepada warganet, tanpa disedari, ramai individu turut menjadi pelaku dan mangsa dalam buli siber secara langsung dan tidak langsung. Buli siber juga boleh dikatakan salah satu bencana sosial yang kian merebak dalam kalangan pengguna Internet dan media sosial merentasi pelbagai aspek demografi. Secara amnya, buli siber boleh diertikan sebagai tingkah laku agresif dan sengaja yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan individu dengan menggunakan medium elektronik secara berulangan terhadap mangsa yang tidak dapat mempertahankannya. Contoh medium elektronik yang sering digunakan ialah telefon bimbit khususnya telefon pintar, komputer, dan media sosial.

Buku ini ditulis atas hasil usaha sama para penulis yang terdiri daripada pakar dalam beberapa bidang iaitu kriminologi, linguistik, psikiatri dan psikologi klinikal serta kesihatan masyarakat agar isu buli siber dapat dikupas dari pelbagai sudut. Selain membincangkan tentang isu buli siber secara menyeluruh dari konteks definisi sehingga kajian kes, buku ini juga mengupas tentang pencegahan dan intervensi yang boleh diamalkan oleh ibu bapa, sekolah dan agensi berkepentingan dalam usaha membanteras buli siber. Buku ini mampu memberi pendedahan tentang buli siber kepada pembaca terutamanya para ibu bapa, pelajar, pihak sekolah, pakar bidang, para sarjana dan juga kementerian dan agensi berkepentingan sumber panduan dalam usaha pencegahan proaktif terhadap buli siber seperti Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

*Buku ini boleh didapati di Perpustakaan INSTUN di rak 302.343 MRK

Skip to content