Sr Jasmari Jamaludin
Jabatan Ukur da Pemetaan Malaysia (JUPEM),
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya
Kata kunci: Pelan Warta Kariah, Sempadan Kariah Masjid
ABSTRAK
Kertas ini bertujuan untuk menerangkan metodologi dan pengalaman JUPEM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JUPEM WPKL) dalam menentu dan memetakan jajaran sempadan kariah masjid dengan pendekatan Sistem Maklumat Geografi (GIS). Secara umumnya terdapat lima (5) peringkat utama dalam menyediakan Pelan Warta Sempadan Kariah iaitu Permohonan Penyediaan Pelan Warta, Mengenalpasti dan Menentu Sempadan Kariah, Penyediaan Deraf Pelan Warta, Semakan Deraf Pelan Warta dan Kelulusan Pelan Warta. Di samping itu, beberapa sesi perbincangan dan bengkel turut diadakan bagi menentukan kriteria bagi sempadan suatu kariah masjid khususnya yang melibatkan isu-isu pertindihan sempadan kariah. Hasilnya, kriteria yang diambil kira dalam menentukan jajaran sempadan kariah masjid tersebut adalah seperti mengelakkan sempadan kariah merentasi bangunan, lakaran sempadan kariah disempadani oleh jalanraya atau lebuhraya dan lakaran jajaran sempadan kariah berdasarkan sempadan lot tanah. Penentuan jajaran sempadan kariah masjid tersebut juga telah disemak dengan lapisan data jalanraya, lapisan data lot tanah dan imej foto udara beresolusi tinggi. Hasil daripada gerak kerja ini, Pelan Warta Sempadan Kariah Masjid Bagi Masjid-masjid Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Di Bawah Pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah diluluskan oleh Pengarah Ukur dan Pemetaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan berjaya diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.