- Version
- Muat Turun 30
- File Size 406.91 KB
- File Count 1
- Create Date 19/03/2025
- Last Updated 19/03/2025
Yeap Wei Chien
Bahagian Geospatial Pertahanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia,
Jalan Sultan Yahya Petra, 50578, Kuala Lumpur
Kata kunci: Papan Pemuka, Pasukan Petugas Khas Greater Klang Valley, Logistik, Covid-19, Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan
ABSTRAK
Meletusnya sejenis virus berjangkit yang menyebabkan jangkitan pernafasan berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2) yang telah diwartakan sebagai wabak pandemik virus korona 2019 atau COVID-19 pada 11 Mac 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menjadi sebuah fenomena sejarah dunia. Seluruh warga dunia diwajibkan menjalani perintah berkurung di sesetengah tempat, atau menjalani perintah kawalan pergerakan, seperti yang dialami di Malaysia. Langkah drastik sebagai ‘litar pintas’ ini terpaksa dikenakan oleh pihak kerajaan bagi mengekang penularan wabak tersebut daripada terus merebak dengan pantas. Pada akhir Disember 2020 selepas setahun wabak ini mula dikesan, statistik kematian global akibat jangkitan COVID-19 ini yang direkodkan WHO telah mencecah 1.7 juta manusia, sementara kumulatif jangkitan dunia telah menjangkau ke paras lebih 79 juta kes yang direkodkan. Perebakan mendadak ini juga telah menyebabkan kemunculan varian-varian terbitan baharu, berpunca daripada proses mutasi virus asal SARS-CoV-2, seperti varian Beta, Alpha, Delta dan Omicron. Dengan munculnya gelombang varian Delta yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang ligat, Kerajaan Malaysia telah menempuhi kekangan baharu di dalam menampung operasi perkhidmatan kesihatan negara bagi mengawal dan menguruskan kes COVID-19 di seluruh negara. Hal ini telah menjadi titik tolak penubuhan sebuah gerakan khas Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF) oleh Kerajaan Malaysia pada 12 Julai 2021. Penubuhan GKV STF ini turut melibatkan penugasan sokongan khusus perkhidmatan logistik oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), untuk menangani situasi semasa perkhidmatan kesihatan sedia ada berkaitan COVID-19, dengan matlamat bagi mengurangi lonjakan kes di wilayah Lembah Klang Raya. Menerusi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), pihak ATM telah mengadaptasi teknologi geospatial pertahanan daripada platform Defence Geospatial Information Management (DGIM), yang dibangunkan oleh Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP). Terdapat beberapa metodologi yang telah digunakan iaitu penggunaan Survey123, pembangunan dashboard dan pemantauan kenderaan secara real-time. Hasil daripada pembangunan ini, maklumat yang disampaikan dapat dilaksanakan dengan mudah dan efisien. Penggunaan teknologi geospatial masa nyata terkini, dengan kaedah ‘geobatas’ atau geofencing, oleh platform DGIM ini telah berjaya membantu perkhidmatan logistik ATM di dalam operasi GKV STF, dan dibuktikan dapat menyokong perlaksanaan operasi GKV STF menampung sistem perkhidmatan kesihatan semasa yang serius di wilayah terlibat.
Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN),
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES),
Behrang, 35950 Tanjong Malim,
Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Tel: +605 454 2825 | Faks: +605 454 2837
Emel: pro@instun.gov.my