بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas segala limpahan rahmatnya. Terlebih dahulu saya ucapkan selamat datang kepada para pengunjung laman web Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN). Tahniah dan syabas dari pihak pengurusan kepada jawatankuasa laman web INSTUN kerana sentiasa berusaha untuk menambahbaik portal rasmi ini. Adalah diharapkan laman ini dapat dijadikan sebagai pintu utama kepada sistem penyampaian jabatan yang menyumbang dalam meningkatkan kompetensi modal insan dalam bidang Pentadbiran Tanah, Ukur dan Pemetaan serta Teknologi Maklumat melalui latihan yang sistematik dan terancang.
Bagi memastikan INSTUN kekal relevan, institut ini menyediakan kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini sesuai dengan kehendak situasi semasa melalui pelaksanaan kursus, seminar, bengkel dan kursus dalam talian yang berimpak tinggi bagi memberi kemudahan kepada penjawat awam mengikuti kursus pada bila-bila masa di mana sahaja di samping menumpukan kepada bidang penyelidikan, penerbitan, fasilitasi dan konsultasi.
Membuka lembaran 2025, laman web INSTUN tampil dengan wajah baharu serta ciri-ciri yang lebih efektif dan mesra pengguna bagi memudahkan maklumat dapat dicapai dengan pantas dan berkesan. INSTUN juga mempelbagaikan medium penyampaian maklumat dengan menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan TikTok. Diharap dengan penggunaan media sosial ini akan memudahkan lagi komunikasi dua hala antara masyarakat umum dan INSTUN malah seterusnya mendekatkan perkhidmatan kami kepada umum. Penghasilan portal yang menarik dan dikemaskini secara berterusan, pastinya akan dapat memupuk kefahaman, keyakinan dan kebolehpercayaan terhadap mutu perkhidmatan yang ditawarkan serta membolehkan setiap tindakan dapat dilakukan dengan pantas.
Adalah menjadi harapan saya agar portal INSTUN yang dibangunkan ini dikawal dan diselaras supaya integriti dan kecekapan dalam pengurusan awam tidak terjejas disebabkan oleh pembaziran, pertindihan tugas dan kerja-kerja berulang. Melalui portal ini, fungsi jabatan ini boleh diperkenalkan kepada semua lapisan masyarakat pada era teknologi maklumat dan segala maklumat penting boleh dicapai dengan tepat dan cepat. InsyaAllah dengan kerjasama semua pihak portal ini akan dikemaskini secara berterusan dan diharap dapat berfungsi sebagai laman rujukan dalam bidang Pentadbiran Tanah, Ukur dan Pemetaan serta Teknologi Maklumat.
Akhir kata, saya berharap portal ini dapat memberikan maklumat dan kemudahan kepada pelanggan untuk mengakses informasi berkaitan peranan INSTUN, selain menitikberatkan aspek ketepatan maklumat dan kemudahan dalam melayari portal. Harapan saya semoga berpuas hati dengan paparan portal ini dan kami mengalu-alukan sebarang cadangan dan komen untuk menambah baik kandungan laman web ini dari semasa ke semasa.
“SELANGKAH DI HADAPAN”
“SELAMAT MELAYARI PORTAL INSTITUT TANAH DAN UKUR NEGARA”
Sekian, Wassalam.
KHAIRIN NAZRY BIN KARIM
PENGARAH,
INSTITUT TANAH DAN UKUR NEGARA
BEHRANG,
35950 TANJUNG MALIM,
PERAK