- Version
- Muat Turun 166
- File Size 3.21 MB
- File Count 1
- Create Date 18/10/2022
- Last Updated 23/11/2022
Sr. Siti Arifah Abdul Kader
Bahagian Ukur dan Pemetaan,
Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang Ulu, 35950 Perak, Malaysia
Kata Kunci: Falak, Astronomi, Kesesuaian Ufuk
ABSTRAK
Balai cerap merupakan sebuah bangunan yang dibina dengan fungsi utamanya adalah sebagai pusat pencerapan objek-objek yang terdapat ruang angkasa seperti matahari, bulan, bintang, planet dan lain-lain objek samawi. Selain itu, balai cerap digunakan untuk cerapan hilal untuk menentukan perubahan bulan dalam kalender hijri dan penentuan tarikh bagi bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Justeru itu, adalah penting lokasi sebuah balai cerap yang dibina perlu mempunyai kesesuaian kenampakan ufuk sebelum penubuhannya bagi melancarkan aktiviti-aktiviti mencerap terutamanya bagi cerapan hilal. Oleh itu, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dalam usaha untuk membina sebuah balai cerap yang pertama di negeri Perak dengan kelengkapan infrastuktur mencerap yang moden juga sebagai pusat rujukan pengamal falak di Malaysia. Sehubungan dengan itu, sebelum pembinaan balai cerap ini, telah dilakukan sebuah kajian bagi melihat keadaan ufuk di tapak lokasi balai cerap INSTUN tersebut. Maka kajian ini dilaksanakan dengan tujuan untuk mengenalpasti keadaan ufuk di tapak lokasi pembinaan balai cerap yang akan digunakan untuk menjalankan aktiviti berkaitan Falak dan Astronomi. Kaedah pengumpulan data yang dilakukan di lapangan ialah cerapan matahari, cerapan azimuth dan altitud, melihat keterbukaan langit, merekod nilai azimuth dan altitud objek di kawasan lokasi Balai Cerap. Bagi data cerapan matahari, ianya dibandingkan dengan data rukyah hitungan. Cerapan matahari dilakukan pada waktu pagi. Nilai azimuth cerapan matahari ialah 112° 24’36” dan altitud ialah 20° 06’29” manakala nilai azimuth data rukyah hitungan ialah 112° 24’12” dan altitud ialah 20° 07’13”. Perbezaan antara data cerapan matahari matahari dan data rukyah hitungan ialah nilai azimuth 00° 00’24” dan nilai alitud ialah 00° 00’44”. Oleh itu, keputusannya oleh pencerap ialah perbezaan ini tidak ketara dan boleh diterima. Disamping itu, semasa aktiviti melihat keterbukaan langit, ianya didapati keseluruhan ruang angkasa tidak mempunyai halangan pada ketinggian altitud >30°. Ini menunjukkan bahawa lokasi tersebut bersesuaian untuk menjalankan aktiviti cerapan bintang dalam menentukan kedudukan latitud dan longitud (astronomical coordinate). Secara keseluruhanya, kedudukan tapak balai cerap ini adalah bersesuaian untuk menjalankan aktiviti falak dan astronomi disebabkan oleh tiada halangan ruang udara serta kedudukannya yang jauh dari gangguan cahaya.
Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN),
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES),
Behrang, 35950 Tanjong Malim,
Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Tel: +605 454 2825 | Faks: +605 454 2837
Emel: pro@instun.gov.my