Description
Khadijah Sahdan
Bahagian Ukur dan Pemetaan,
Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang Ulu, 35950 Perak, Malaysia
Abdul Fatah Ibrahim
Bahagian Ukur dan Pemetaan,
Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang Ulu, 35950 Perak, Malaysia
Kata kunci: Perisian sumber terbuka, sistem maklumat geografi (GIS), geospatial, agensi kerajaan, potensi, risiko
ABSTRAK
Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah digunakan secara meluas dalam pengurusan data geospatial, namun begitu kos pembelian perisian GIS berlesen sering menjadi isu utama terutama bagi agensi kerajaan. Dalam era digital yang pesat berkembang, perisian sumber terbuka GIS (OSS GIS) muncul sebagai
alternatif yang menarik khususnya kepada agensi kerajaan dengan menawarkan kelebihan dan potensi yang banyak seperti kos yang lebih rendah dan fleksibiliti yang tinggi. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti potensi dan risiko penggunaan OSS GIS dalam agensi kerajaan. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian ini menggunakan metodologi tinjauan literatur sistematik bagi mengumpul maklumat, mengenal pasti dan mengintegrasi penemuan semula kajian berkaitan keupayaan dan risiko penggunaan OSS GIS dalam agensi kerajaan. Hasil kajian telah mengenalpasti potensi utama penggunaan OSS GIS dalam agensi kerajaan iaitu dari aspek penjimatan kos, fleksibiliti dan pengubahsuaian, ketelusan dan keselamatan, kerjasama dan perkongsian sumber antara agensi, kepakaran tempatan dan inovasi, sokongan komuniti dan kebebasan memilih pembekal (vendor). Seterusnya, risiko utama penggunaan OSS GIS dalam agensi kerajaan juga telah dikenalpasti yang melibatkan aspek isu keselamatan, kekurangan sokongan teknikal, kesukaran integrasi dan masalah kestabilan jangka panjang. Hasil kajian merumuskan bahawa OSS GIS menawarkan kelebihan, faedah dan peluang signifikan untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos dalam agensi kerajaan. Kajian ini memberikan panduan berguna tentang cara memanfaatkan potensi OSS GIS sambil menguruskan risiko yang terlibat dengan harapan dapat memandu keputusan strategik dalam pengurusan data geospatial dan pelaksanaan sistem GIS di agensi kerajaan.