Description
Nafisah Binti Harun
Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak
Norayahati Binti Ngagiman
Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak
Hasliza Binti Yusof
Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak
Kata kunci: Pusat Sehenti, Google Sites, Ukur Kejuruteraan, Asas Ukur Tanah
ABSTRAK
Peningkatan arus perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi semakin pesat seiring dengan perkembangan ilmu pendidikan yang disediakan di institusi pada masa ini. Penggunaan teknologi ini adalah elemen bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan mudah diterimapakai oleh pengguna. Pengaplikasian penggunaan laman web sebagai pusat sehenti bahan pembelajaran merupakan satu usaha yang sangat diperlukan dalam pendidikan terutamanya bagi pengurusan bahan pembelajaran yang efektif dan sistematik. Ini dapat mengatasi masalah keciciran maklumat dan penyimpanan bahan pembelajaran. Objektif utama pembangunan laman web ini untuk mengenalpasti tahap kepuasan terhadap hasil pembelajaran dan tahap kebolehpelajaran terhadap fungsi aplikasi yang dibangunkan. Proses pembangunan laman web ini diadaptasi dari model rekabentuk pengajaran iaitu ADDIE yang merangkumi fasa Analisis, Reka Bentuk, Pembangunan, Pelaksanaan dan Penilaian. Proses pembangunan laman web mini memfokuskan penggunaan Google Sites, manakala proses pembangunan bahan pembelajaran menggunakan pendekatan Web 2.0 seperti Quizizz, Canva, mylink.la, linktr.ee, Google Drive, Google Form, Google Slides, Wakelet, Padlet, Trello dan pembangunan bahan pembelajaran digital berbentuk e-book dan video pembelajaran melalui penyimpanan video di platform Youtube serta aplikasi amali menggunakan Glide App. Pendekatan Augmented Reality dan Virtual Reality juga diterapkan melalui bahan pembelajaran di pusat sehenti ini. Metodologi seterusnya menggunakan pendekatan kuantitatif bagi mendapatkan maklumbalas terhadap objektif yang telah dinyatakan. Melalui dapatan kajian menunjukkan maklumbalas positif iaitu purata skor min bagi rekabentuk aplikasi 4.00, kebolehfungsian aplikasi 3.95, kebolehpelajaran 3.93, kepuasan penggunaan aplikasi 3.91 dan hasil/kegunaan aplikasi pada masa akan datang 3.87. Secara kesimpulannya, pembangunan laman web mini ini sebagai pusat sehenti bahan pembelajaran Kursus Ukur Kejuruteraan merupakan satu pendekatan yang efektif dan sistematik penggunaannya merangkumi sebelum, semasa dan selepas proses pembelajaran berlaku. Aplikasi ini juga boleh berfungsi dengan sangat baik dan boleh dikategorikan sebagai aplikasi yang mesra pengguna.