Fauzani binti Azam
Bahagian Ukur dan Pemetaan,
Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang Ulu, 35950 Perak, Malaysia
Kata kunci: Atribut, fitur, geospatial, pangkalan data, perkongsian data, struktur
ABSTRAK
Pangkalan data merupakan tempat penyimpanan data yang diproses untuk menjadikan suatu data itu lebih terurus. Penggunaan pangkalan data juga telah dipraktikkan dengan meluas dalam pelbagai bidang khususnya geospatial. Kini, ia turut digunapakai dalam bidang geospatial. Kajian ini bertujuan untuk membincangkan tentang standardisasi penstrukturan pangkalan data geospatial dengan mengaplikasikan kod fitur (feature code) dan atribut (attribute) seperti yang dinyatakan dalam dokumen Malaysian Standard For Geographic Information/ Geomatics-Feature And Attribute Codes (MS1759). Dengan menggunakan MS1759, struktur pangkalan data bukan sahaja menjadi lebih sistematik, malah ia memudahkan capaian pengguna kerana data disusun secara berstruktur mengikut kategori data. Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) misalnya merupakan agensi yang telah menggunakan sepenuhnya standardisasi ini untuk data bagi kategori Built Environment, Demarcation dan Hypsography. Secara keseluruhannya, matlamat utama penggunaan standardisasi dalam pangkalan data geospatial adalah untuk memudahkan perkongsian data dalam kalangan agensi.