Yusmila binti Ishak
Bahagian Ukur dan Pemetaan,
Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang Ulu, 35950 Perak, Malaysia
Kata Kunci: kesedran, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, OSHA
ABSTRAK
Keselamatan adalah satu isu penting yang amat signifikan dengan kehidupan seharian. Ia perlu difahami oleh semua orang terutama sekali melibatkan kerja-kerja yang berisiko. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) adalah satu akta yang digubal bagi memupuk sikap prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan mengadakan organisasi dan langkah-langkah yang berkesan dengan sesuatu pekerjaan. Justeru itu, kajian yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesedaran dalam kalangan staf terhadap aspek keselamatan di tempat kerja, menentukan faktor dominan yang mempengaruhi tahap kesedaran staf terhadap keselamatan dan kesihatan serta memberikan cadangan untuk pihak pengurusan bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan. Responden bagi kajian ini terdiri daripada sebilangan staf INSTUN. Kajian ini telah menggunakan kaedah soal selidik bagi mendapatkan data. Data yang diperoleh dianalisis secara deskriptif menggunakan kekerapan dan min untuk menjawab objektif kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa staf INSTUN mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan apabila mencatatkan min skor keseluruhan yang tinggi. Penilaian terhadap faktor-faktor dominan yang mempengaruhi tahap kesedaran staf INSTUN dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan pula menunujukkan bahawa faktor latihan dan faktor komitmen dan sikap adalah merupakan faktor yang paling dominan dalam mempengaruhi tahap kesedaran responden terhadap keselamatan dan kesihatan. Akhirnya, kajian ini mendapati bahawa bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran staf, terhadap keselamatan dan kesihatan, maka seharusnya pihak pentadbiran INSTUN memperbanyakkan program latihan, menambah kempen-kempen kesedaran, mengadakan program-program keselamatan dan kesihatan secara berterusan.