Mahruzaman Misran, PPT
Bahagian Ukur dan Pemetaan, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN),
35950 Behrang Ulu, Perak Darul Ridzuan
Kata Kunci: Gerhana Matahari, Falak, Al-Quran
ABSTRAK
Pada 21 Jun 2020 (Ahad), penduduk di beberapa tempat di mana Gerhana Matahari Anulus terjadi berpeluang menyaksikan fenomena berkenaan. Bagi kawasan Tanjong Malim, Perak, hanya dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa. Ia bermula dari jam 14:47 yang mana ketika itu bermulanya Gerhana Matahari Separa (Start of Partial Eclipse). Fasa Gerhana Matahari Separa secara maksimum rasminya bermula pada jam 15:56. Gerhana ini berterusan dan berakhirnya Gerhana Matahari Separa pada jam 16:55. Surah Al-Imran ayat 190 Allah berfirman: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran siang dan malam, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal”. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda kebesaran Allah S.W.T. Kedua-dua tidak gerhana disebabkan kematian seseorang dan kerana hidupnya seseorang. Oleh itu, apabila melihat gerhana berlaku, maka berdoalah, bertakbir, bersedekah dan bersolat”. Fenomena gerhana ini jelas membuktikan Al Qur’an, sains dan manusia selari dan termaktub di dalam Al-Qur’an. Objektif kajian adalah bagi merakam fenomena gerhana ini. Metodologi yang dilaksanakan adalah merakam detik-detik gerhana. Hasil kajian ini adalah keadaan sebenar bagaimana bentuk gerhana separa kali ini diketahui dan darinya dapat dianalisis hubungan bayang bulan, matahari dan kita di bumi.