Description
Abdul Malek bin Abdullah
Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah,
Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang Ulu, 35950 Perak, Malaysia
Kata kunci: Maraan laut, Pentadbir Tanah, GIS
ABSTRAK
Kawasan pesisir pantai Daerah Sepang, Selangor terdedah kepada hakisan air laut dan menerima risiko ditenggelami air akibat daripada kenaikan aras laut. Hal ini merupakaan satu pencerobohan semula jadi sekiranya berlaku ke atas tanah berimilik dan memberi kesan perkembalian tanah kepada Kerajaan secara
sepenuhnya atau sebahagian di bawah Seksyen 49, KTN [Akta 828]. Tujuan penyelidikan ini adalah mengkaji kebolehlaksanaan penggunaan GIS membantu penguatkuasaan prosedur tindakan Seksyen 49, KTN [Akta 828]. Penyelidikan ini mensasarkan tiga objektif utama iaitu mengenalpasti lot-lot yang terlibat dengan maraan air di pesisir pantai, mengenalpasti indikator iaitu data spatial dan data atribut yang sesuai bagi analisis GIS dan menganalisis perbezaan keluasan tanah berimilik akibat maraan air dengan menggunakan perisian GIS. Penyelidikan ini menggunakan Kajian Kualitatif dan menggunakan kaedah Kajian Kes bagi mendapatkan maklumat berkaitan pelaksanaan prosedur tindakan perkembalian tanah akibat maraan air. Ia juga bagi mendapatkan data spatial serta data atribut untuk tujuan pembuktian berlakunya maraan air terhadap tanah berimilik di pinggir pantai menerusi analisis GIS. Hasil penyelidikan ini membuktikan penggunaan GIS boleh dilaksana bagi menentukan keluasan tanah yang terlibat dengan maraan air, seperti lot 1267 yang telah ditenggelami air sebahagian iaitu sebanyak 427.65 m2. Hasil penyelidikan ini dapat membantu Pentadbir Tanah dalam melaksana tindakan seterusnya bagi mengurus pemilikan tanah dengan lebih baik dengan bantuan GIS.