Azfaizan Ahmad Sarkawi
Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah,
Institut Tanah dan Ukur Negara, Behrang Ulu, 35950 Perak, Malaysia
Kata kunci: Pewarisan Tanah, FELDA, Tatakelola, Implikasi, Hubungan Sosial
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti prinsip-prinsip yang digunakan dalam pewarisan tanah FELDA melalui Akta Tanah (Kawasan-kawasan penempatan berkelompok) 1960 atau lebih dikenali sebagai Akta 530. Berdasarkan akta ini, secara eksplisit ianya telah menyekat pembahagian pusaka dikalangan waris dengan hanya membenarkan maksimum dua orang sahaja dilantik sebagai pentadbir dan tiada sebarang urusan belah bahagi atau pecah sempadan dibenarkan bagi tujuan tersebut. Walaupun prinsip ini dianggap relevan untuk memastikan kelestarian pewujudan FELDA itu sendiri, tetapi ianya telah menimbulkan isu-isu berkaitan agihan pewarisan harta pusaka tersebut yang akhirnya menimbulkan kesan hubungan sosial dalam kalangan warga FELDA dewasa ini. Oleh itu, kajian ini akan menggunapakai data-data sekunder berdasarkan kajian perpustakaan yang dibuat melalui bahan-bahan bacaan berkaitan dengan tajuk. Dapatan kajian merumuskan tentang sistem pewarisan tanah FELDA yang dilaksanakan dan isu-isu yang berbangkit seterusnya diikuti dengan cadangan-cadangan penambahbaikan yang wajar dipertimbangkan dalam usaha untuk memperkemaskan lagi sistem pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan oleh peneroka FELDA di seluruh Malaysia. Antara isu yang dikenalpasti adalah tahap pemahaman yang kurang jelas dalam kalangan warga FELDA berkenaan sistem pewarisan tanah FELDA yang memerlukan kepada tindakan dari pihak pengurusan FELDA baik dari segi penganjuran program-program kesedaran (awareness), pewujudan dokumentasi perundangan dan semakan semula Seksyen 14 dan 15 Akta 530.