Liyana ‘Izzati Aris
Bahagian Penyelidikan & Pembangunan (R&D),
Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), 35950 Behrang Ulu, Perak D.R
Kata Kunci: Kesedaran pelanggan, kualiti perkhidmatan awam, perkhidmatan pelanggan, agensi kerajaan, UTC Sabah
Abstrak
Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan satu mekanisme inovasi yang diusahakan oleh pihak kerajaan dalam menyediakan medium lokasi setempat bagi pelbagai perkhidmatan kerajaan/badan berkanun/sektor swasta di bawah satu bumbung supaya mampu menyelesaikan urusan pelanggan dengan mudah. Salah satu perkhidmatan awam tersebut adalah perkhidmatan Biro Pengaduan Awam (BPA). Sehubungan itu, kajian ini bertujuan memeriksa tahap kesedaran orang awam mengenai perkhidmatan BPA cawangan Negeri Sabah yang terletak di UTC Sabah. Kajian ini merupakan kajian rintis yang melibatkan persampelan rawak mudah iaitu 50 responden yang merupakan pelanggan yang telah atau sedang menggunakan perkhidmatan awam dan kemudahan di UTC Sabah pada hari pengedaran borang soalan kaji selidik. Hasil kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, kesedaran orang awam terhadap peranan dan perkhidmatan BPA adalah di tahap yang baik meskipun majoriti daripada responden tidak berurusan secara langsung dengan BPA negeri Sabah dari segi pengaduan awam. Justeru, usaha perlu digiatkan lagi untuk mempromosikan peranan BPA dalam meningkatkan kesedaran orang awam terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh BPA negeri Sabah di UTC Sabah agar terus kekal relevan sebagai badan pengawas kualiti penyampaian perkhidmatan awam.